Mitos Tentang Teknik Pemasaran Yang Popular

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera..


Pada artikel kali ini saya ingin berkongsi info tentang beberapa mitos mengenai tenkik pemasaran yang popular.. Info ini saya kongsikan berdasarkan pengalaman saya yang sentiasa cuba untuk mengkaji dan mempelbagaikan teknik pemasaran..


Kononnya kalau kita buat begitu dan begini, kita melakukan teknik pemasaran yang efektif dan betul.. Tapi setelah kita melakukannya kita mendapati hasil usaha kita tidak mendatangkan hasil seperti yang dijangkakan. Ini bermaksud ada kelemahan atau kesilapan dari segi teknik pemasaran yang kita lakukan.. 



Jadi bagaimana kita harus mengubah pandangan minda kita terhadap teknik pemasaran yang betul, dengan cara membuang idea – idea pemasaran yang salah dari minda kita.




Produk yang baik tidak akan terjual secara automatik!

Tidak semestinya anda memiliki produk yang sangat baik, ia akan membuatkan anda menjadi kaya raya.

Mungkin anda pernah mendengar perumpamaan ini : Bina produk yang canggih, dan semua orang akan datang kepada anda

Mungkin perumpamaan tersebut ada kebenarannya, kerana beberapa dekad yang lalu tidak banyak produk canggih yang dicipta. Mungkin pada masa tersebut, ada juga produk yang dikira canggih namun tidaklah sampai menerima anugerah Nobel. Apa yang pasti, ianya tidaklah seperti hari ini dimana teknologi dan innovasi bergerak pantas seiring dengan perkembangan semasa.

Dengan pertumbuhan teknologi, istilah produk canggih tidak lagi menjadi banyak kerana ia tumbuh bak cendawan tumbuh selepas hujan.

Pada abad ke 21 ini, setiap hari ada sahaja produk canggih yang diciptakan. Maka, dengan hanya memiliki produk yang baik tidak bermakna ia akan boleh memasarkan dirinya sendiri dan membuatkan anda kaya.

Pada masa sebelum ini, orang ramai kurang didedahkan dengan iklan – iklan. Apa – apa sahaja yang dianggap baru akan senang diketahui ramai kerana kurangnya persaingan.

Tapi hari ini, walaupun anda memiliki pembersih vakum yang canggih, pelan insurans ataupun kereta yang boleh terbang, anda tetap akan bersusah payah juga mempromosikannya kerana anda akan bertarung dengan lambakan iklan diluar sana. Tambahan pula, anda harus meyakinkan para pelanggan bahawa produk anda boleh memberikan kepuasan kepada mereka.

Anda harus menyampaikannya kepada para pelanggan anda secara langsung. Anda tidak boleh duduk sahaja, tetapi secara konsisten memberikan maklumat. Anda harus menyampaikan faedah – faedah produk anda agar dengan kaedah ini, agar lebih ramai yang membeli dari anda berbanding ribuan pesaing anda diluar sana.

Apa yang penting ialah anda harus berani menonjolkan diri. Tunjukkan kepada mereka bahawa anda adalah sangat berbeza, lebih baik dan luar biasa. Anda perlu memiliki kaedah pemasaran yang unik, dan umumkannya kepada semua orang.

Lakukan tindakan yang boleh ‘mengejutkan’ mereka dan berikan mereka sesuatu yang boleh diingati. Memang banyak kaedah untuk menjana wang pada hari ini, namun hakikatnya kejayaan individu mahupun syarikat telah menarik minat ramai untuk bersaing dalam sesebuah pasaran.

Sebagai contoh:

Jika anda menyertai pemasaran rangkaian (network marketing), ia sebenarnya tidak membantu sekiranya anda berterusan bercerita tentang kehebatan syarikat pemasaran rangkaian anda. Tidak kisahlah, samada produk mereka canggih atau berapa hebatnya latar belakang syarikat tersebut.

Jika anda menyertai syarikat yang baik, secara umumnya mereka mengetahui akan kelebihan syarikat anda. Namun, persoalannya sekarang – jika mereka mahu memulakan bisnes pemasaran rangkaian, kenapa mereka harus menyertai ANDA dan bukannya pemimpin yang penuh karisma, yang berdiri di atas pentas dengan ribuan pengikut (downline)? Dengan kata lain, apa yang anda boleh tawarkan menyebabkan anda berbeza dari yang lain? (mereka bukan hanya menyertai syarikat, tetapi ANDA juga).

Panggilan Rambang?

Pernahkan anda mendengar istilah panggilan rambang? Pernahkah anda tahu, mengapa panggilan rambang ini sering diabaikan? Ini disebabkan anda akan sentiasa menerima reaksi yang kurang menyenangkan dari pihak yang satu lagi.

Biarlah kita bersikap jujur dengan diri sendiri. Anda pasti kurang senang untuk menerima panggilan daripada orang yang anda tidak dikenali (kecualilah anda seorang yang sangat mesra atau ianya panggilan untuk memberitahu anda bahawa anda memenangi loteri). Tiada seorang pun yang suka menerima panggilan dari ‘orang asing’ – terutamanya orang yang cuba menjual sesuatu kepada anda.

Panggilan rambang merupakan salah satu kaedah yang tidak efektif dalam memasarkan sesuatu – dengan membuat panggilan yang mengganggu privasi seseorang. Disamping itu, anda juga perlu ‘tahan telinga’ dan bersedia untuk menerima penolakan terhadap apa yang anda tawarkan. Ianya juga langsung tidak membantu untuk memberikan didikan kepada pelanggan anda mengenai produk anda. Dengan kaedah ‘paksaan’, anda tidak akan kemana.

Pada masa kini, para penjual tidak lagi bertemu dengan pelanggan sebaliknya pelanggan pula yang mencari penjual. Jika pelanggan tersebut bersikap seperti diktator, beliau akan memandang rendah para penjual dan ini akan menyukarkan usaha penjual untuk menyampaikan kelebihan produk kerana mereka ini bersikap ‘minda tertutup’.

Orang ramai sekarang lebih selesa untuk mencari sendiri peniaga ataupun penjual yang boleh memenuhi keperluan mereka. Apa yang akan mereka lakukan ialah dengan menggunakan enjin pencari, Google – taipkan sahaja apa yang mereka inginkan. Mereka tidak perlukan para penjual untuk menghubungi mereka dan memberikan informasi tentang produk terbaru dipasaran.

Bertemu pelanggan. Berbaloikah?

Jika anda menyertai sesetengah organisasi pemasaran atau syarikat pemasaran rangkaian, selalunya anda akan sering ditekankan untuk sentiasa bertemu dengan prospek atau pelanggan anda. Tetapi, pernahkah anda membayangkan apakah perasaan prospek anda? Bayangkan pula diri anda di pihak mereka.

Jika anda seorang jurujual dan anda memandu sepanjang hari hanya untuk cuba bertemu dengan prospek anda setiap kali makan tengahari, ada kemungkinan juga anda akan berasa kecewa atau berputus asa, terutamanya jika para prospek anda tidak begitu gembira untuk berjumpa dengan anda.

Seperti juga dengan panggilan rambang, berjumpa dengan para prospek juga bukanlah satu kaedah yang baik untuk berkomunikasi mengenai promosi walaupun ianya dilakukan secara bersemuka. Sekali lagi, anda pergi kepada mereka tetapi mereka pula menjauhkan diri dari anda.

Ramai agen syarikat pemasaran rangkaian bergerak ke sana dan ke sini cuba untuk memperkenalkan pelan mereka, tetapi akhirnya ditolak dan tidak dilayan dengan baik.

Mereka memikirkan bahawa mereka mempunyai masa didepan prospek mereka, dan berharap boleh mendapatkan hasil lumayan sekiranya mereka melakukannya berulang kali.

Perhatikan, bahawa ianya amat sukar kerana pelanggan tidak akan melayan anda seperti seorang pakar dan juga tidak akan menghormati anda. Pelanggan juga tidak begitu didedahkan dengan produk / servis anda; oleh itu anda akan bertarung untuk mendapatkan perhatian mereka. Kadang kala anda juga boleh kelam kabut juga kerana mereka bersedia dengan soalan – soalan ‘maut’, sedangkan anda tidak bersedia dengan soalan – soalan diluar jangkaan. Anda juga mungkin lebih risau tentang kos untuk anda bergerak dan ‘conversion rate’ iaitu kadar pertukaran prospek kepada pembeli kerana anda mengambil masa yang lama untuk menerima penolakan sebelum mampu membuatkan prospek anda bersetuju dengan anda.

Pemasaran tidak sama dengan jualan, dan jualan juga bukan bermakna pemasaran. Jangan terkeliru kerana ramai yang beranggapan pemasaran dan jualan adalah perkara yang sama. Memulakan perniagaan tanpa kaedah pemasaran yang betul akan berakhir dengan kekecewaan dan kegagalan.

Pengiklanan Secara Rambang!

Ramai diluar sana yang meletakkan pelbagai iklan seperti flyer, brosur, kad nama, papan tanda dan objek pengiklanan lain di merata – rata tempat dengan harapan ada seseorang yang akan membuat panggilan atau membuat pesanan.

Ini adalah kaedah yang kuno.

Tanyakan pada diri anda sendiri…jika seorang yang pakar didalam perniagaan internet meletakkan iklan beliau pada papan tanda dan menggantungkannya pada pokok – adakah anda fikir prospek beliau akan menghormati beliau sekiranya ternampak iklan beliau di pokok tersebut? Tentulah tidak! Sama juga dengan anda, sekiranya anda berbuat demikian prospek anda juga tidak akan menghormati anda.

Sia – sia juga untuk anda meletakkan kad nama atau brosur anda diseluruh kawasan dengan harapan sesiapa yang ternampak brosur / kad nama anda akan merasa tertarik dan bersedia untuk menelefon anda, dengan kad kredit ditangan bersedia untuk membuat pesanan.

Sejarah turut menunjukkan walau apapun jenis teknik pengiklanan yang digunakan, tanpa kaedah yang betul untuk menarik pembeli akhirnya akan membawa kepada bentuk pemasaran yang tidak efektif. Malah lebih teruk lagi, ianya adalah satu PEMBAZIRAN!

Kecualilah perniagaan anda sangat besar seperti Coca Cola, teknik pengiklanan yang tidak mengandungi unsur – unsur ‘respon secara langsung’ (direct response) merupakan kaedah terbaik untuk meningkatkan keuntungan.

Desakan Tidak Akan Membantu Pemasaran

Ramai jurujual rela untuk memanjakan para pelanggan mereka dalam usaha untuk memenangi hati pelanggan agar memilih produk mereka. Jurujual ini akan merayu dan memujuk pelanggan untuk membeli produk / servis mereka tetapi pada masa yang sama para pelanggan ini sedang mengambil kesempatan sahaja. Sebaik sahaja tawaran atau janji – janji ini tidak lagi ditawarkan, mereka akan menolak anda.

Jangan lakukan kesilapan ini. Jika anda sanggup melakukan apa sahaja demi memenangi hati pelanggan, anda sebenarnya menuju kearah kekecewaan sekiranya anda meletakkan pelanggan anda terlalu tinggi.

Walaupun kita amat menghormati para penjual yang sanggup memberikan nombor telefon, nombor fax dan sanggup juga memberikan alamat rumah mereka semata – mata untuk menunjukkan bahawa mereka menawarkan khidmat pelanggan yang ‘tip – top’, sebenarnya ia tetap siri percubaan untuk mendapatkan jualan.

Para pelanggan juga tidak mudah diperdaya dan mereka sangat bijak. Mereka tahu, perkara pertama yang mereka lakukan sebaik sahaja mereka menandatangani borang anda, mereka akan terus ‘bersembunyi’ dan mengelakkan diri dari panggilan anda.

Jika anda ingin benar – benar efektif dalam perniagaan, anda harus bijak membezakan antara padi dan hampas.

Bukan semua prospek anda adalah pelanggan yang berkualiti. Jika anda berhempas pulas untuk menyenangkan semua mereka, perniagaan anda akan sengsara di akhir nanti. Anda sepatutnya berusaha meyakinkan pelanggan yang berkualiti, walaupun dalam kuantiti yang sedikit berbanding cuba meyakinkan semua termasuk prospek yang tidak berminat. Ini akan mendatangkan pelbagai masalah seperti isu khidmat pelanggan, aduan dan informasi yang tidak baik yang disebarkan dari mulut ke mulut disebabkan timbulnya rasa ketidakpuasan hati.

Kisah Benar Disebalik Putus Asa.

Anda akan mengalami keadaan ini dengan kerap apabila anda menyertai syarikat pemasaran rangkaian (atau ketika latihan pemasaran).

Bayangkan situasi ini – anda, sebagai agen pemasaran rangkaian dan menyertai syarikat. Mereka mendorong anda ke arah kebebasan kewangan dan menyatakan kesetiaan kepada agen yang mereka lantik, dimana mahu mereka melakukan apa sahaja demi mejayakan perniagaan.

Jangan salah anggap…

Tidak ada salahnya untuk memiliki kemahuan yang tinggi dan mengejar matlamat untuk berjaya. Malah, ianya amat digalakkan agar kita lebih kuat lagi dalam menghadapi cabaran di alam perniagaan.

Tetapi masalahnya ialah, ianya tidak mampu untuk direalisasikan. Ada sesetengah perniagaan pemasaran rangkaian (sebenarnya banyak lagi diluar sana) memiliki sistem yang baik, manakala selebihnya tidak. Jika pihak pengurusan tidak melaksanakan tanggungjawab mereka, melakukan perbuatan yang tak beretika atau menggunakan taktik kotor, maka ia merupakan alasan yang baik untuk anda meninggalkan syarikat tersebut. Terutamanya, apabila anda tidak mendapat hasil atau anda berterusan melabur…namun, tiada perubahan sehinggakan nak bayar bil pun susah!

Ada juga senario yang lebih teruk lagi, dimana sesetengah orang akan cuba memanipulasikan anda dengan mengungkapkan ‘pemenang takkan mudah mengalah’ dan ‘si pengalah takkan pernah berjaya’.

Baiklah, terdapat 2 cara bagaimana anda memerhatikan keadaan ini:

  1. Anda tidak mengendahkan nasihat upline anda atau tidak melakukan apa yang perlu untuk berjaya. Anda tidak melakukan apa – apa untuk memperbaiki diri anda atau situasi kewangan anda. Perniagaan anda gagal ataupun bertahan sekerat jalan sahaja. Akhirnya, anda keluar kerana tidak mahu situasi menjadi lebih genting. Kesilapan ini adalah disebabkan anda sendiri dan anda sememangnya layak untuk gagal.
  1. Anda mengikuti sistem, melakukan segalanya untuk meningkatkan diri, membina minda berjaya dan sanggup berbuat apa sahaja demi kejayaan. Dalam kes ini, anda harus keluar dengan segera jika anda menemui peluang lain yang akan memberikan kejayaan dengan lebih pantas kerana ianya adalah sia – sia sahaja untuk anda terus berada disana jika ianya statik sahaja.
Ok, saya rasa anda faham tentang 2 penyataan di atas. Persoalannya ialah di kategori manakah anda sekarang?

Anda harus tahu tentang karier anda. Memang penting untuk bekerja keras, tetapi anda juga seharusnya bekerja dengan bijaksana. Jika anda tidak berusaha gigih, anda memilih untuk gagal dan ini adalah fakta kehidupan. Namun, jika anda telah berusaha bersungguh – sungguh tetapi tidak berhasil, maka tukarlah strategi dan pendekatan anda!         

Catat Ulasan

1 Ulasan

  1. Satu perkara yang baik telah dipelajari daripada pengalaman kamu. Nice tips.

    Uji Cuba pada pandangan saya adalah satu yang sangat baik dilakukan dalam pemasaran.(Betul pemasaran tidak sama dengan penjualan)

    Sesuatu tempat punyai cara "kroni" yang pada saya amat berbeza. Bergantung kepada permintaan sesuatu tempat.

    Ambil contoh, jika kita memasarkan baju yang mungkin sedikit murah apabila berada dalam kalangan mereka yang memang sangat kaya. Attitude mereka kepada barangan kita bakal berbeza.

    Tapi, jika kita melakukan pemasaran dengan mengatakan barangan tadi berjenama(walaupun sebenarnya murah), Pemikiran mereka juga akan berubah. Hanya satu contoh.

    Jadi, pemasaran adalah satu perkara seni. Jadi SENI perlukan pengayaan dan cara untuk mengekpresikannya. Jadi Pilihan terbaik jika gagal untuk melakukan pemasaran?

    Ubah strategi anda!

    BalasPadam