Khutbah Terakhir Nabi Muhammad SAW


Assalamualaikum dan Salam Sejahtera...

Diharapkan anda berada dalam keadaan sihat Sejahtera dalam menjalani kehidupan anda seharian..

Pada entri kali ini saya ingin berkongsi tentang isi kandungan Khutbah terakhir yang disampaikan oleh Rasulullah S.A.W sebelum baginda pergi meninggalkan kita buat selamanya...

Semoga isi kandungan Khutbah ini akan dapat menjadi panduan dan pedoman kepada kita sebagai umat Akhir zaman yang terlalu banyak cabaran, halangan, dan dugaan...
Sehingga dikatakan iman umat Islam Akhir zaman pada hari ini adalah senipis kulit bawang..

Bila-bila masa sahaja keimanan kita boleh tergugat oleh anasir-anasir luar yang sentiasa cuba untuk memesongkan akidah dan pegangan umat Islam pada hari ini..  

Nauzubillah... Semoga Kita sentiasa berada di bawah perlindungan Allah S.W.T dan ditempatkan di kalangan orang-orang yang beriman sehingga ke penghujung nyawa kita... Insya Allah...

Sekiranya anda keberatan untuk membaca Isi Kandungan Khutbah ini di atas kesibukan masa.... Saya syorkan anda mendengar Radio IKIM FM (Institut Kefahaman Islam Malaysia) di siaran 102.7 semasa sedang memandu ke destinasi yang dituju... 


Khutbah ini kerap kali keudara di saluran Radio tersebut... Sambil memandu kereta boleh dapat ilmu dan pahala....Insya Allah...

Jadi, marilah kita sama-sama membaca, menghayati dan memahami Isi Kandungan Khutbah terakhir Rasulullah SAW... 

___________________________________________________________

"Wahai Manusia, dengarlah baik-baik apa yang hendak ku katakan. Aku tidak mengetahui apakah aku dapat bertemu lagi dengan kamu semua selepas tahun ini. Oleh itu dengarlah dengan teliti kata-kataku dan sampaikanlah ia kepada orang-orang yang tidak dapat hadir disini pada hari ini."

"Wahai manusia, sepertimana kamu menganggap bulan ini dan kota ini sebagai suci, maka anggaplah jiwa dan harta setiap orang Muslim sebagai suci. Kembalikan harta yang diamanahkan kepada kamu kepada pemiliknya yang berhak. Janganlah kamu sakiti sesiapa pun agar orang lain tidak menyakiti kamu lagi. Ingatlah bahawa sesungguhnya kamu akan menemui Tuhan kamu dan Dia pasti membuat perhitungan diatas segala amalan kamu. Allah telah mengharamkan riba, oleh itu segala urusan yang melibatkan riba dibatalkan mulai sekarang."


"Berwaspadalah terhadap syaitan demi keselamatan agama kamu. Dan dia telah berputus asa untuk menyesatkan kamu dalam perkara-perkara besar, maka berjaga-jagalah supaya kamu tidak mengikuti nya dalam perkara-perkara kecil."

"Wahai manusia, sebagaimana kamu mempunyai hak keatas isteri kamu, mereka juga mempunyai hak di atas kamu. Sekiranya mereka menyempurnakan hak mereka ke atas kamu maka mereka juga berhak untuk diberi makan dan pakaian dalam suasana kasih sayang. Layanilah wanita-wanita kamu dengan baik, berlemah-lembutlah terhadap mereka kerana sesungguhnya mereka adalah teman dan pembantu yang setia. Dan hak kamu atas mereka ialah mereka sama sekali tidak boleh memasukkan orang yang kamu tidak sukai ke dalam rumah kamu dan dilarang melakukan zina."



"Wahai manusia, dengarlah bersungguh-sungguh kata-kata ku ini, Sembahlah Allah, Dirikanlah solat lima kali sehari, Berpuasalah di Bulam Ramadan dan Tunaikanlah Zakat dari harta kekayaan kamu. Kerjakanlah ibadat Haji sekiranya kamu mampu. Ketahuilah bahawa setiap Muslim adalah bersaudara kepada Muslim yang lain.Kamu semua adalah sama, tidak seorang pun yang lebih mulia dari yang lainnya kecuali dalam Taqwa dan beramal soleh."

"Ingatlah, bahawa kamu akan menghadap Allah pada suatu hari untuk dipertanggungjawabkan diatas segala apa yang telah kamu kerjakan. Oleh itu Awasilah agar jangan sekali-kali terkeluar dari landasan kebenaran selepas ketiadaanku."

"Wahai manusia, tidak ada lagi Nabi atau Rasul yang akan datang selepasku dan tidak akan lahir agama baru. Oleh itu wahai manusia, nilailah dengan betul dan fahamilah kata-kataku yang telah aku sampaikan kepada kamu. Sesumgguhnya aku tinggalkan kepada kamu dua perkara, yang sekiranya kamu berpegang teguh dan mengikuti kedua-duanya, nescaya kamu tidak akan tersesat selama-lamanya. Itulah Al-Quran dan Sunnahku."


"Hendaklah orang-orang yang mendengar ucapanku menyampaikan pula kepada orang lain. Semoga yang terakhir lebih memahami kata-kataku dari mereka yang terus mendengar dari ku. Saksikanlah Ya Allah bahawasanya telah aku sampaikan risalah Mu kepada hamba-hamba mu."
______________________________________________

Khutbah Hujjatul Wada adalah khutbah terakhir Rasulullah SAW. Baginda menyampaikan khutbah itu pada upacara kemuncak ibadat haji iaitu ketika melakukan wukuf di Arafah pada 9 Zulhijjah, 10 Hijrah.

Pada ketika itu, berpuluh ribu rombongan haji dari negara seperti Iraq dan Kuwait turut hadir melaksanakan haji bersama Baginda.

Baginda SAW ketika itu sudah mengetahui umurnya tidak panjang dan perlu mengingatkan umat Islam kesimpulan bagi apa yang disampai dan diajarkan kepada ummah sepanjang hidup Baginda.

Tamatnya Rasulullah menyampaikan khutbah tersebut, cuma Abu Bakar yang menitiskan air mata kerana beliau memahami kesimpulan khutbah itu ialah Rasulullah SAW bakal meninggalkan umatnya dan terpulang kepada kita sebagai pengikutnya untuk mengingati pesanan itu tanpa Baginda yang dikasihi berada di sisi. Persoalannya adakah masyarakat kita hari ini masih mengingati dan mematuhi amanah Baginda kepada kita?



Jadi sama-samalah kita cuba menyampaikan kepada rakan-rakan kita isi kandungan Khutbah ini semampu yang boleh...  Kalau tak mampu melalui percakapan, kita boleh menyampaikannya melalui pelbagai cara seperti melalui penulisan blog, nota, email, facebook, dan sebagainya...



Terlalu banyak cara yang boleh kita gunakan pada hari ini untuk menyebarkan ajaran islam.. Semoga kita memanfaatkan kelebihan teknologi media massa yang ada pada hari ini ke arah kebaikan agar kita dapat sama-sama memperolehi hidayah daripadanya... Wallahualam..



Catat Ulasan

2 Ulasan