Sempena tahun baru pada kali ni saya terpanggil untuk menulis sedikit perkongsian tentang Azam, matlamat dan kegagalan..
Sebagai seorang manusia yang berfikiran positif, masing-masing tentu sudah mempunyai azam tahun baru pada kali ini. Setiap azam akan disusuli oleh matlamat anda untuk mencapainya. Boleh saya tahu tak apa azam dan matlamat kalian semua? Adakah azam dan matlamat kalian realistik untuk dicapai? Maksud realistik adalah azam dan matlamat tersebut mampu anda capai dan ianya bukan angan-angan kosong semata. Dan azam anda bukanlah sesuatu perkara yang terlalu besar yang mustahil untuk dicapai dalam masa setahun.
Sebagai contoh azam dan matlamat yang mustahil untuk dicapai dalam tempoh setahun adalah seperti berikut:-
- Anda baru mula bekerja setelah tamat pengajian dan baru mula membuat simpanan; Azam anda adalah untuk menabung pada setiap bulan dengan matlamat untuk menjadi jutawan pada tahun 2011.
- Anda baru belajar bermain squash; Azam anda adalah untuk menyertai semua kejohana dunia dan bermatlamat untuk menjadi pemain squash nombor satu dunia pada tahun 2011
Bagaimana pula sekiranya anda mempunyai azam dan matlamat yang jelas dan realistik untuk dicapai pada tahun-tahun sebelum ini tetapi masih menemui kegagalan?
Adakah anda akan berputus asa dengan usaha anda selama ini? dan menganggap mustahil untuk anda berjaya mencapai azam dan matlamat yang diiinginkan.
Sebagai contoh:
- Anda mahu lulus cemerlang dalam setiap pelajaran dan mendapat nombor 1-10 di dalam kelas; Tetapi setakat ini anda hanya mampu mendapat markah C,D,E dan F untuk semua mata pelajaran.
- Anda seorang peniaga dan matlamat anda adalah untuk memperolehi keuntungan bersih sekitar RM4000 sebulan; Tapi setakat ini anda hanya mempu meraih keuntungan bersih sekitar RM500-RM2000 sebulan
Untuk menjawab soalan tersebut saya ingin memperkenalkan anda dua orang guru kegagalan. Seorang adalah saintis dan seorang adalah pakar dalam bidang masakan.
Saintis yang saya maksudkan adalah Thomas Edison orang yang bertanggungjawab mencipta mentol elektrik.Beliau telah menempuhi 1999 kegagalan sebelum berjaya pada usahanya kali ke 2000. Apabila ditanya adakah beliau menganggap gagal berdasarkan percubaan beliau pada kali ini, beliau hanya menjawab, "Saya tidak gagal. Saya hanya tidak menemui cara untuk tidak menciptanya"
Pakar dalam bidang masakan yang saya maksudkan pula adalah Kolonel Sanders, insan yang bertanggung jawap memperkenalkan KFC. Beliau mempunyai satu resepi rahsia ayam goreng. Namun begitu banyak kedai menolak resepi beliau pada permulaannya sehingga percubaan kali ke 1009.
Lihat pada kegigihan tokoh-tokoh guru kegagalan di atas. Adakah anda telah menempuhi kegagalan sebanyak yang telah mereka tempohi?
Setiap orang tidak akan dapat lari daripada melalui kegagalan. Kita perlu menganggap kegagalan sebagai sesuatu yang membina dan kita perlu berani menempuhinya. Sekiranya anda takut menempuhi kegagalan anda akan takut untuk bertindak bagi mencapai matlamat dan impian yang anda inginkan. Jadikan kegagalan sebagai guru kepada anda untuk anda mencari ruang bagi memperbaiki kegagalan tersebut..
Insya Allah sekiranya anda melakukan sesuatu perkara secara tekun dan sabar, walaupun anda gagal beberapa kali pada sepanjang usaha tersebut dijalankan tetapi anda akan berjaya juga pada akhirnya. Jadi berpeganglah pada kata-kata motivasi ini:
"Anda tidak pernah gagal dalam usaha untuk terus mencuba bagi mencapai kejayaan yang anda harapkan. Tetapi anda gagal sekiranya anda berputus asa dan berhenti untuk terus mencuba"
Fikir-fikirkanlah kata-kata tersebut sempena tahun baru 2011 ini. Selamat tahun baru kepada semua dan semoga anda telah mempunyai azam tahun baru dan berusaha untuk mencapainya. Semoga berjaya..
0 Ulasan